Hukum memberi salam adalah sunat muakkad bagi perseorangan dan sunat kifayah bagi perkumpulan sedangkan menjawab salam pula adalah wajib bagi perseorangan dan fardhu kifayah bagi perkumpulan.
Hikmah memberi salam :
- mendapat keredhaan Allah
- mendapat doa dari para malaikat
- akan mendukacitakan iblis
- dapat membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah (keji)
- dapat mengukuhkan persaudaraan Islam
Dulu kita bangga memberi salam kepada saudara Islam tapi kini kita lebih selesa dengan hanya menyebut "Hai". Kononnya lebih mudah dan ringkas. Maklumlah dalam dunia yang serba pantas ini segalanya perlu cepat. Kalau menyebut "Assalamualaikum", belum habis menyebut salam, orang tersebut sudah tiada di depan mata. Itulah antara alasan yang sering digunakan
apabila ditanya kenapa dan mengapa mereka lebih suka mengucapkan "hai" daripada "Assalamualaikum". Tapi sebenarnya ia menunjukkan betapa rapuhnya ukhuwwah Islamiah kita hari ini.
Siapa yang lebih berhak memberi salam?
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki,
orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan
orang yang sedikit hendaklah memberi salam kepada orang yang ramai.
Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w bersabda:
Orang yang kecil (muda) hendaklah memberi salam kepada orang besar (tua),
orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk,
orang yang sedikit hendaklah memberi salam kepada orang yang ramai dan
orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.
Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan supaya
mereka yang berjalan kaki tidak terasa rendah diri.
Bila tak patut beri salam?
Dilarang memberi salam kepada orang yang sedang mengajar dalam majlis ilmu, orang yang sedang membaca al-quran kerana dibimbangi terganggu apa yang sedang dibaca atau diperkatakan (hilang idea). Dilarang memberi salam kepada orang yang sedang makan kerana takut tercekik. Juga dilarang memberi salam kepada orang yang sedang berjudi.
No comments:
Post a Comment